22 Mei 2011

Single Itu Bukan Bersendirian....

Kamu memandang padanya. Kamu mencuri-curi melihat kelibatnya. Mata kamu seolah bermain rasa dan bersandiwara.

Kamu rasa amat kuat satu debar di dada... tapi dalam catat tinta hatimu kamu kuat berkata... : Single dan bersendiri itu ialah kamu. Hidup tanpa cinta itu ialah kamu dan dakwa kamu: Cinta itu buangkan tenang hayat nafasmu.
Itu dulu. Hari ketika kamu leka bermain layang-layang milik anganmu. Ketika masa yang sama kamu terbangkan akan impian punya cinta itu. Kerana katamu, kamu bahagia menjadi bersendirian dan buangkan kuat suara hatimu mendayu.
Single itu bahagia? Single itu tiada komitment pada rasa dan jiwa?

Manusia mampu berkata apa saja. Kita mampu menolak sesuatu itu kerana kita dapat rasakan kita gagah bertahan kerana kita masih tersisa ego dan rasa gagah perkasa, gagah seorang manusia lemah sebenarnya.

Tapi, dalam diam kamu masih mencuri-curi memandang akan mata insan itu. Kamu masih tercari akan manis senyumnya diluar batas imaginasi diri. Kamu rindu, tapi kamu masih menidakkan bicara hatimu.

Degil.

Degil untuk mengaku bahawa kamu telah kalah, degil untuk mengaku bahawa ada debar sudah terpahat dalam bicara keras seorang manusia. Kamu takut akan terluruh prinsip kamu dan kuasa diri kamu pada sekitar hayat dan masa.
Mahu mengalah, tapi kamu rasa kamu amat malu untuk mengakui akan hakikatnya.

Kamu rasakan, kamu mungkin bukan terbaik dari yang insan itu akan pilih. Kamu terpesona pada bicaranya, tapi hati kamu kuat menangis mahu mengakui akan hakikatnya kamu hanya mahu bersendiri.

Single bukan jalan untuk menutup ruang dingin hatimu.

Kamu harus berdiri dan menatap wajahnya berulang kali, beranikan suara dalam lubuk hatimu. Berbicaralah, kamu perlukan dakapan malam suatu hari nanti. Kamu perlukan bisik kuat cintanya untuk kamu bernafas setiap kali. Kamu juga perlukan pelukan indah itu agar kamu selayaknya dapat menatap segala indah milik insan yang kamu kasihi.
Berbicaralah dengan indah bulan. Katakan padanya bahawa kamu wajah yang dambakan hangat kasih dan harapan. 

Buanglah rasa marah yang terpahat kuat bagaikan dendam...

Belajarlah untuk mengaku bahawa kamu mahukan cinta itu. Dalam sisi gelap dan keras hati kamu, sebenarnya kamu amat amat mahu akan sayang dan bisikan manis itu. Carilah debar itu semula, sesungguhnya hidup ini punya jutaan indah cahaya dan bahagia. Akan ada insan baik yang memimpin tangan kamu dan memeluk erat akan bayang semalammu.

Hidup ini bukan hanya sebuah perjalanan sepi yang hilang penghuni. Penuhilah akan kosong itu dengan kelopak cinta yang harum berbunga. Kucup cinta itu bagaikan baru semalam hujan bertemu akan kelibat pelanginya.

Single itu bukan sendirian, ia hanya satu singgahan sementara kamu bertemu penawar dan teman. Hari ini kamu baca akan kalimah dan kata baik milik aku, esok dengan izinNya, akan dibuka padamu akan benar kataku itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan